DAMAI SELAMANYA...

DAMAI SELAMANYA...
KEDAMAIAN

laman utama

Rabu, 26 Ogos 2015

TANAH MELAYU, BUMI MELAYU...TIADA SANGGAH SEPANJANG ZAMAN...

Tanah Melayu, Bumi Melayu...Tiada Sanggah Sepanjang Zaman..


DIBANDINGKAN dengan Melayu di tempat-tempat lain, Melayu di Semenanjung Malaysia ini mempunyai kelebihan yang cukup besar. Sebabnya, bumi yang mereka duduki diberi penghormatan entah oleh siapa untuk dinamakan Tanah Melayu.
Carilah sebuah tempat lain di muka bumi ini yang mempunyai nama yang serupa. Sulu tidak dinamakan Pulau Melayu. Sumatera tidak dinamakan Bumi Melayu. Mindanao, Makasar, Sulawesi, dan segala macam tempat lagi di nusantara ini tidak beri penghormatan untuk diabadikan dengan nama Melayu.
Di sini, di bumi Semenanjung ini, terdapat begitu banyak perkara yang dikaitkan dengan Melayu. Di sini terdapat entah berapa puluh buah kampung Melayu, di samping sebuah dua pekan Melayu. Di sini nama Melayu berada di mana-mana, daripada baju yang dipakai hinggalah pada parti yang memerintah.
Di mana lagikah ada gambaran keakraban yang serupa? Berapa buah bandarkah di Borneo yang dinamakan Bandar Melayu? Berapa batang jalankah di Jawa yang dinamakan Jalan Melayu? Berapa buahkah Kampung Melayu yang ada di Jolo? Ada tak ada perkataan yang cukup dekat dengan Melayu atau Malay di tempat lain mungkin cuma Malayalam, bahasa yang banyak dipakai di Kerala, barat daya India.
Apakah yang tergambar oleh semua kenyataan di atas? Bukankah ianya suatu cerminan tentang kuatnya hubungan Semenanjung Malaysia ini dengan orang Melayu? Bukankah itu satu gambaran yang amat jelas bahawa dalam konteks rumpun Melayu, bumi Semenanjung ini mempunyai kehebatannya sendiri yang tidak boleh digugat oleh mana-mana bumi lain. Ia seakan telah disahkan sebagai bumi sebenar milik Melayu. Bumi tempat Melayu bermula dan mungkin juga bumi tempat Melayu berakhir.
Tetapi jarang orang Melayu yang menyedari kelebihan ini. Jarang Melayu mengambil berat tentang hakikat yang tersembunyi di sebalik nama itu. Malah jarang orang Melayu mempedulikannya.
Himpunkan semua orang Melayu di Semenanjung ini dan bertanyalah pada mereka bagaimana dan kenapa bumi ini diabadikan dengan keturunan mereka. Tidak banyak yang akan dapat menjawabnya. Kebanyakannya kerana tidak tahu dan kerana tidak pernah mahu mengambil tahu. Sebabnya? Mereka jarang mengambil berat terhadap soal akar umbi sendiri.
Kebanyakan orang Melayu sendiri menyimpan anggapan bahawa mereka sebenarnya bangsa yang masih muda. Mereka rata-rata menganggap sejarah mereka cuma bermula dengan tegaknya Kesultanan Melayu Melaka. Bagi mereka, sebelum itu Melayu tidak wujud. Mereka lupa atau barangkali alpa pada hakikat bahawa Melayu di Semenanjung ini telah wujud lebih lama sebelum itu. Kedah, di utara Semenanjung, telah dirakam dalam sejarah China sejak Dinasti Liang (502-665). Kalaupun namanya waktu itu disebut ‘Langgasu’ (Langkasuka) dan wilayahnya menjengkau hingga ke selatan Siam, ia pada hakikatnya tetap Kedah; salah sebuah negeri di bumi Melayu ini. Dan siapakah yang mendiami Kedah waktu itu kalau bukan orang Melayu?
Empayar Srivijaya yang berpusat di Sumatera dan yang telah membina tamadun cemerlang di hampir seluruh Tanah Melayu dan abad ke-9 hingga abad ke-13 adalah kerajaan Melayu. Itu juga hakikat yang tidak boleh dinafi. Orang-orang Melayu serpihan daripada empayar besar itulah yang kemudiannya bertukar menjadi Melayu-Islam, mengikut jejak Parameswara.
Di Perak, para arkeologis mempunyai bukti bahawa telah wujud kerajaan-kerajaan purba sejak kurun ke-5 Masehi. Lebih 1,300 tahun dahulu kerajaan Gangga Negara yang dipercayai berpusat di Beruas telah tegak sebagai sebuah kerajaan besar. Ia gah dan tersohor sehingga pada kurun ke-11 Gangga Negara berupaya menarik minat Raja-Raja Chola di India untuk menyerangnya. Siapakah yang menjadi raja dan rakyat kerajaan Gangga Negara itu kalau bukan orang Melayu?
Peta Tanah Melayu yang dilukis oleh Ptolemy pada kurun ke-2 telah menunjukkan terdapat dua buah pelabuhan di pantai timur Semenanjung iaitu ‘Kole’ dan ‘Perimoula’, yang kedua-duanya terletak di Terengganu. Batu Bersurat yang ditemui di Kuala Berang pula menunjukkan seawal tahun 1303 Islam telah tiba di Terengganu. Siapakah agaknya yang menghuni Kole dan Perimoula? Siapakah Raja Mandalika yang memerintah Terengganu pada waktu Islam mula sampai ke situ? Bukan Melayukah mereka?
Dalam ensiklopedia Ma Tuan-Lin ada tersebut mengenai suatu tempat bernama ‘Ko-lo’, yang dikatakan telah mempunyai hubungan dengan China sejak zaman pemerintahan Dinasti Han (206 S.M – 221 Masehi). Dan kebanyakan sejarahwan percaya ‘Ko-lo’ yang dikatakan terletak di Tanah Melayu itu ialah Kelantan. Catatan-catatan China pada kurun ke-7 Masehi juga ada menyebut mengenai ‘Ho-lan-tan’ dan ‘Kou-lo-tan’. Lagi sekali soalannya sama, siapakah agaknya yang mendiami Kelantan ketika itu jika bukan orang Melayu?
Pendek kata, dilihat dalam apa sudut pun, orang Melayu memang mempunyai sejarah yang amat panjang dan lama di bumi bertuah ini.
Malangnya orang Melayu sendiri cenderung memendekkan sejarah kehadiran mereka di sini. Mereka seolah-olah tidak berbangga langsung mengenainya.
Sebagaimana disebutkan tadi, apabila bercakap tentang sejarah bangsa, kita, iaitu semua Melayu di bumi Melayu ini, selalunya cuma melihat setakat tahun 1403, tahun bermulanya kerajaan Parameswara di Melaka dan tahun yang menjadi titik mula tegaknya sebuah kerajaan Melayu yang terbilang. Kita jarang, malah selalunya tidak pernah mengambil hirau, terhadap kehebatan empayar-empayar Melayu sebelum tarikh itu.
Ada beberapa sebab kenapa ini berlaku. Pertama, sejarah tempatan pertama dalam bentuk tulisan iaitu Sejarah Melayu hanya ditulis pada tahun 1612. Sebelum hasil penulisan Tun Seri Lanang itu tidak ada rekod tempatan lain yang boleh dipakai. Rekod-rekod bertulis lain, khususnya dari China dan India, kebanyakannya cuma menyebut secara samar-samar tentang kewujudan bumi Melayu ini.
Jadi sejarah bertulis yang ada tidak cukup untuk mengajak orang Melayu menjengah jauh ke akar umbi nenek moyangnya. Sejarah Melayu itu pula lebih banyak memberi tumpuan pada tamadun yang dibina di Melaka selepas mencampur-adukkan sejarah akar umbi rumpun Melayu dengan dongeng dan fakta.
Di sekolah, kita dan anak-anak, diajar terlalu sedikit tentang asal usul Melayu. Dan setiap kali subjek itu disentuh, fokus dan tumpuan hanya setakat kerajaan Melayu Melaka, bukannya pada Melayu yang wujud sebelum tegaknya tamadun di bumi Hang Tuah itu. Sampai sekarang tidak ada siapa pun yang mahu mengambil berat untuk menjadikan Tamadun Melayu sebagai subjek yang wajib dipelajari, setidak-tidaknya oleh anak-anak Melayu, di peringkat awal persekolahan mereka. Sampai sekarang tiada sesiapa pun yang menginsafi hakikat bahawa bangsa yang besar adalah bangsa yang tidak melupakan tunjang dan umbinya. Hasilnya sampai sekarang anak-anak Melayu di bangku sekolah rendah lebih mengenal nama dan asal usul Christopher Columbus atau Amerigo Vaspucci daripada mengenal nama dan asal usul ‘Kedaram’ dan ‘Kolantam’.
Ada pendapat mengatakan orang Melayu sendiri sebenarnya sengaja tidak mahu menganggap mereka wujud sebelum kemunculan Kerajaan Melayu Melaka. Ini berlaku kerana pada zaman-zaman sebelum itu orang Melayu bukan penganut Islam. Tamadun yang dibina di Semenanjung sebelum Melaka adalah tamadun bukan Islam. Srivijaya misalnya, adalah sebuah kerajaan yang tegak di atas kepercayaan Buddha. Tamadun yang pernah muncul di sekitar Kuala Merbok, Kedah pula terpacak atas panji-panji Hindu.
Orang Melayu dikatakan tidak mahu dikaitkan dengan semua elemen bukan Islam. Mereka malu mengaku bahawa nenek moyang mereka dahulu adalah penganut Hindu, Buddha atau animisme. Mereka merasakan tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dengan tamadun terdahulu kerana semuanya adalah tamadun bukan-Islam. Mereka terlupa satu perkara, bahawa dalam apa konteks pun agama dan bangsa adalah dua perkara yang berbeza. Kalaupun yang membina candi-candi di Merbok itu adalah penganut Hindu namun dalam konteks bangsa, mereka berkemungkinan besar adalah Melayu. Tamadun yang mereka bina sehingga memungkinkan tegaknya candi-candi itu juga sesungguhnya adalah Tamadun Melayu.
Memang benar dalam Perlembagaan Persekutuan, Melayu dan Islam berkait begitu rapat. Taraf Bumiputera yang dinikmati oleh seseorang Melayu itu akan hilang dengan sendirinya jika individu Melayu berkenaan tidak lagi beragama Islam. Secara langsung ini bermakna keMelayuannya juga turut gugur.
Hubungkait yang rapat antara Melayu dan Islam itulah agaknya yang menyebabkan kita tidak menganggap nenek moyang kita sebelum kewujudan Melaka sebagai Melayu. Sebabnya, mereka bukan beragama Islam.
Tetapi apa yang dicatatkan oleh Perlembagaan adalah sesuatu yang bersifat teknikal. Ianya juga subjek baru. Dan subjek itu tidak mengubah realiti asal bahawa penganut Hindu, Buddha, animisma atau apa sahaja kepercayaan sebelum Parameswara juga sebenarnya orang Melayu.
Dengan perkataan lain, ia tidak akan dapat menggugat satu kebenaran: bahawa Melayu telah lama – terlalu lama – menjadi penghuni di bumi Semenanjung ini. Dan kerana itu selayaknya mereka dianggap sebagai pribumi, atau dalam istilah semasa sebagai Bumiputera.
Apa yang tersirat di sebalik hakikat itu ialah, orang Melayu sesungguhnya mempunyai hak yang istimewa ke atas tanah ini. Hak yang diwarisi sejak zaman berzaman itulah yang mesti mereka pertahankan dan hak itu jugalah yang tidak boleh diusik oleh sesiapa.
Tetapi hak itu sebenarnya telah diusik dan sering terusik. Secara rasmi ia bermula sejak JWW Birch cuba menyentuh perkara-perkara yang membabitkan adat resam Melayu semasa menjalankan tugas-tugasnya sebagai Residen pertama British di Perak hinggalah ke gagasan Malayan Union dan seterusnya kepada suara-suara yang mempertikaikan hak keistimewaan orang-orang Melayu, yang kedengaran akhir-akhir ini.
Usikan-usikan begitu tidak akan berakhir dengan mudah. Ia akan terus muncul dan muncul walaupun mungkin dalam suasana dan dengan pendukung watak yang berbeza.
Jangan salahkan sesiapa. Setiap manusia mempunyai hak untuk berasa ingin dan kemudian berusaha merealisasikan keinginannya. Birch tidak bersalah kerana cuba mengusik adat resam Melayu dan agama Islam dalam urusan pentadbirannya. Dia hanya melaksanakan tugas. Daripada satu sudut, dia bolehlah dianggap seorang pegawai yang amanah dan baik. Dia telah mengambil risiko besar demi untuk menyempurnakan amanah yang dipikulkan ke bahunya.
Tetapi pembesar-pembesar Melayu yang merancang pembunuhan Birch juga tidak bersalah. Mereka melakukannya kerana mempertahankan hak mereka. Mereka sedar bahawa mempertahankan hak juga adalah satu amanah.
Amanah itu jugalah yang sedang dipikul oleh kita semua sekarang. Di atas batu jemala kita, yang suatu masa dahulu memikul titah raja ini, sekarang terpikul harapan anak cucu. Kita dituntut untuk mempertahankan hak mereka, yang sekaligus merupakan hak kita.
Tidak ada suatu kuasa lain yang mampu membantu kita melakukannya. Hanya kita dan cuma kita.
Tidak ada sesiapa pun yang boleh menahan usikan-usikan terhadap hak keistimewaan mereka selain daripada orang-orang Melayu sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu yang mengubahnya. Dan mempertahankan hak yang ada adalah satu langkah ke arah mengubah nasib yang sedia ada.
Tetapi bagaimanakah Melayu hendak bercakap tentang mempertahankan hak jika mereka sendiri tidak begitu sedar tentang hak yang mereka miliki? Mana-mana juga bangsa yang mengabaikan sejarahnya lambat laun akan menjadi sejarah. Sesungguhnya, hak di sisi sejarah adalah sebesar-besar hak untuk apa juga bangsa di muka bumi ini. Dengan hak yang ada di sisi sejarahlah Red Indian di Amerika dan Aborigines di Australia masih boleh bertahan sehingga sekarang. Tanpa hak itu mereka mungkin akan lenyap begitu sahaja. Dan hak itu pasti tidak dapat ditegakkan jika mereka sendiri mengabaikan sejarah!
Kesedaran tentang kuatnya hubungan darah mereka dengan tanah di bumi Melayu ini perlu bertunas, membesar dan berkembang biak di jiwa setiap Melayu. Mereka harus berpaling jauh memandang ke belakang untuk mengenang kembali bagaimana besarnya kekuasaan datuk nenek mereka terhadap Tanah Melayu. Mereka perlu sentiasa memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa bangsa mereka pernah gemilang di negeri ini dan kerana itu juga akan terus gemilang.
Tetapi berpaling ke belakang itu harus ada had dan batasnya. Sama jugalah dengan memandang ke hadapan, harus ada garis dan sempadannya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan